Thanks For Your Support

Tuesday, June 11, 2013

Hidup adalah untuk di uji


Kesusahan adalah pengajaran dan pendidikan, kesenangan adakala nye merosakkan Iman.

Hidup adalah untuk diuji. Ujian tu tidak akan ada hentinya. Selagi kita diuji, selagi itulah kita masih hidup. Jadi bersyukurlah… Ujian itulah jalan untuk kita mengenal Allah. Allah ‘memperkenalkan’ Dirinya di sebalik semua ujianNya. Pada ujian sakit, Allah kenalkan Dirinya yang Maha Penyembuh. Pada ujian miskin, Allah perkenalkan diriNya yang Maha Kaya. Pada ujian fitnah, Allah sedang memperkenalkan diriNya yang Maha Penyabar…

Tidak ada hari tanpa diuji, kerana atas hukum itulah kita hidup dan mati. Semoga dengan itu kenal kita kepada Allah makin tinggi… dan akhirnya, cinta kita kepadaNya pun semakin meningkat. Hakikatnya, apabila kita belum cinta, itu petanda kenal kita belum sempurna. 

Ujian, membuktikan bahawa di sebalik kuasa diri yang sering kita fokuskan ini, ada kuasa Allah yang Maha Berkuasa di atas segala kuasa. Ke situlah perjalanan hati ini sewajarnya dipacu. Sentiasa bersangka baik bukan hanya bermakna yang baik-baik akan berlaku dalam hidup ini, tetapi hati kita diberi kekuatan untuk menghadapi ‘sesuatu yang tidak baik’ dengan hati yang baik.

Apabila berlaku sesuatu yang tak diduga, tak disangka, tak dipinta… jangan kecewa, marah apalagi mencela. Tetapi tanyakanlah diri, apakah maksud baik Allah di sebalik semua itu. Dengarlah ‘bisikan’ tarbiah Allah di sebalik segala mehnah (ujian). Allah tidak akan menzalimi kita. Ujian itu penting, tetapi bagaimana kita menghadapinya jauh lebih penting.
Bila dirimu diuji oleh Allah dengan kebaikan dunia, maka bersyukurlah pada nikmat kurniaNya. Tu tandanya dirimu dalam pemerhatianNya. Siapkan diri dengan iman dan taqwa, kerana itulah yang akan menjadi bentengmu dari godaan syaitan dan nafsu yang tak ada istilah waktu untuk melalaikan kita. Sungguh nafsu itulah yang paling hampir dengan diri seseorang. Maka, kalahkanlah ia dengan banyak memberi kerana Allah SWT.
Bila ujian Allah berupa kekayaan, banyakkanlah menghulur pada yang memerlukan. Sungguh kekayaan itu hanyalah pinjaman semata. Pemiliknya adalah yang kekal Abadi. Kita hanyalah insan faqir yang hanya menumpang Kesempurnaan sifat-sifatNya. Jadikanlah barang pinjaman itu sebagai wasilah untuk mendekatkan diri pada Allah SWT. Sesungguhnya sesiapa yang memberi pinjaman pada Allah (sedang Allah tidak memerlukan pinjaman) maka Allah akan memberikan pulangan yang berlipat ganda (qardan hasanah) hasil daripada apa yang dilakukannya.
Sekiranya ujian nikmat itu berupa darjat dan pangkat, maka ingatlah kekuasaanNya dan AgungNya Allah SWT, supaya hatimu terhindar dari megah diri dan bongkak. Sekiranya ujian itu berupa kecantikan, ingatlah akan dirimu, kecantikan itu hanyalah sementara dan kecantikan itu hanyalah nilaian zahir bagi manusia. Sedang nilaian manusia tu hanyalah tidak lain hanya melalaikan diri kita dengan pujian. Jadikanlah diri kita begitu berharga dan bernilai di hadapan Allah SWT.
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda:-
"Sesungguhnya Allah tidak melihat pada rupa paras dan kekayaan kamu, tetapi melihat pada amal dan hati-hati kamu" 
(Hadis Riwayat Imam Muslim)


1 comment: